Archive for April, 2008

Lagu Istiqamah buat semua pemimpin Melayu

Wednesday, April 30th, 2008

Assalamualaikum,
Lagu ini telah lama saya cipta tetapi saya baru sahaja dapat idea untuk mengisi liriknya, khas untuk semua pemimpin Melayu.

ISTIQAMAH

Yang tertinggal hanyalah kasihku
Yang terkubur mungkinkah dendammu
Menghijau pohon yang ditanam
dikala kita bertemu
Dan layu bunga yang berkembang
mewangi sesuci cinta kala bersatu

[Korus I]
Santaplah santaplah
rindu dan cintaku
Rentaplah rentaplah
tangis dan gundahnya

Tataplah tataplah
suratan dirimu
Rataplah rataplah
khilafan dahulu

Bertamu tingginya harapan
Seiring pedoman azali ditentu
Bertemu jalan tak setuju
Terkupas rasa yang
hitam dan tak berpintu

[Korus II]
Santaplah santaplah
kurnia memburu
Rentaplah Rentaplah
jiwa nan cemburu

Getaplah getaplah
sejarah kelabu
Tetaplah Tetaplah
istiqamahkan kalbu

Santap Rentap Tatap Ratap
Santap Rentap Tatap Ratap

( Ulang Korus I & II]

Santap Rentap Tatap Ratap
Santap Rentap Tatap Ratap

Lagu : Fairuz Hafeez
Lirik  : Fairuz Hafeez
Jika ada yang inginkan penjelasan lagu ini, sila tinggalkan komen di
http://fairuzhafeez.com

Insan-Insan yang Jiwanya Halus - Segera Berjuang !

Tuesday, April 29th, 2008

Perhatian :
Jika anda tidak dapat memahami bahasa-bahasa abstrak bermakna mesej ini bukan untuk bacaan anda. Jangan rugikan masa anda untuk membacanya. Terima kasih.

“Bukakan semua lampu-lampu yang ada !”
Foto : sayelar.fotopages.com

Assalamualaikum,

Saya menyeru kepada rakan-rakan seluruh negara yang inginkan kehidupan untuk semua yang lebih baik supaya bersama mengembling tenaga dan akal dalam meracuni (baca : memaduni) pemikiran semua yang lain. Marilah kita semua menyuntik elemen-elemen dengan rasa rendah diri dan kehambaan kepada Sang Pencipta.

Rakan-rakan seperjuangan kita di Indonesia sudah berani untuk “straight to the point” dan tidak berkias lagi. Sudah sampai masanya, kita rangsangkan penghijrahan daripada minda yang terjajah kepada minda yang merdeka 110 persen.

Ayuh ! Kita hidupkan karya seni dengan menghidupkan jiwa seni dan juga mempersucikan jasad dan jiwa kita sebagai medium peluncuran panah-panah bermadu dan penaburan benih-benih percaya yang pastinya dibalas dengan mahligai yang berganda. Mata dan hati saudara seagama kita pastinya lebih cepat menangkap nilai-nilai suci apabila penciptanya dan penghantarnya turut suci.

Terngiang kata ibuku “Masa dok tunggu kita”
Foto :
sayelar.fotopages.com

Sudah sampai masanya para pengkarya berjihad menyedarkan masyarakat. Berdakwah melalui medium seni. Alurkan sepenuhnya mesej dakwah melalui lagu, drama, filem atau apa sahaja.

Ubah sistem sedia ada. Mengapa perlu membazirkan karya seni dengan melacurkan dan memenuhkannya dengan isi yang melarakan dan melemahkan minda. Sampai bila insan seni harus membiarkan dan mendidik minda orang kita berada di tahap kelas ketiga ? Masih baru merdeka lagikah ?

Berjuanglah ! Sama ada kita berjuang habis-habisan sekarang atau kita harus tunggu pusingan seterusnya yang belum tahu kesempatannya ! Apa yang kita lakukan akan menjadi sejarah buat selamanya.

Surah 103

AL ‘ASHR - MASA

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Pengasih.

103:1. Demi masa!
103:2. Sesungguhnya manusia dalam kerugian,
103:3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan
..nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati..supaya menetapi kesabaran.

Allah Maha Mengetahui !

Mohd Fairuz Mat Zin

BEDAH SIASAT PRU 2008 : 16 Sedekahku Buat UMNO

Monday, April 28th, 2008

(Daripada blog saya yang lama, post pada 13 Mac 2008)

Anwar Ibrahim Masih Relevan Malahan Makin Advance

Anwar masih dilihat sebagai bakal Perdana Menteri yang cukup karisma. Rakyat melihat beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat sementelah lagi beliau pernah dimalukan, ditumbuk, dihina, dipenjara dan di”telanjang”kan. Penderitaan yang dialami memberikannya gambaran relatif yang jelas terhadap nilai keselamatan, keamanan dan kemakmuran. Segala lumpur-lumpur di jasad beliau telahpun diBERSIHkan penderitaan yang beliau bisa maafkan.

Rakyat masih memikirkan Anwar patut menerima “bayaran hutang” yang telah dinafikan walaupun tinggal setapak lagi. Bukti bahawa Anwar tidak bersalah amat jelas setelah dia dibebaskan dan pengakuan Dr. M bahawa dia pernah menganiaya Anwar di dalam YouTube (Dr. M kemudiannya menafikan di televisyen dengan memberitahu ucapannya itu hanya sinikal / sindiran)


Tiada Perubahan Yang Signifikan

Peniaga merasakan keuntungan semakin kurang. Golongan muda yang belum mampan ekonominya ingin satu lonjakan ekonomi. Penganggur pula dambakan pekerjaan untuk sesuap nasi. Yang fakir amat miskin kekal dengan dangau yang atapnya bocor dan lantainya reput.


Duit yang Mengecil

Duit yang semakin merosot nilainya menbebankan rakyat hampir keseluruhannya. Di kota-kota besar, mempunyai dua kerja adalah perkara yang biasa. Keluarga yang ramai anak yang masih bersekolah pula seperti diperkotak-katikkan apabila masih perlu menyediakan ratusan RM walaupun menteri mendakwa telah memansuhkan yuran persekolahan.

Kosmetik, Kosmo dan Kos

Kerajaan begitu ghairah dengan projek-projek mega yang tidak nampak akan menguntungkan rakyat untuk jangka masa panjang apatah lagi untuk jangka masa pendek. Kerajaan yang dulunya menganggap pembangkang seperti roket rindukan bulan akhirnya turut mengimpikan roket untuk ke bulan. Tidak dinafikan projek kosmo ini menjadi penyuntik semangat kepada generasi muda namun sebahagian rakyat menganggap belum sampai masanya untuk “indah khabar dari rupa”.


Diskriminasi dan Intergriti

MIC dan MCA dilihat gagal memainkan peranan untuk membela kaum yang diwakili. Intergriti yang dilaung-laungkan juga nampaknya masih jauh untuk direalitikan (mungkin ketara semasa orientasi IPTA sahaja). Sensitiviti kaum lain tidak dijaga apatah lagi pemimpin Melayu menghunuskan keris tanpa sarung sewenang-wenangnya.


Komunikasi yang Gagal

Walaupun Pak Lah mengatakan sudi untuk mendengar realiti walaupun pahit namun hakikatnya semua yang di bawahnya hanya berani memberitahu benda yang indah-indah sahaja. Ketidaktegasan Pak Lah dalam isu-isu besar dan kegagalannya mengawal orang-orang bawahannya menyebabkan rakyat melihat Pak Lah kurang kredibiliti. Pak Lah juga menganggap tidak perlu lagi mendengar nasihat dari orang yang menyerahkan kuasa kepadanya.

Kritikan pembangkang pula hanya didengar sebagai satu usaha untuk menyalahkan dan mengajar kerajaan sedangkan kerajaan sudah ada cerdik pandainya sendiri.Pucuk pimpinan UMNO juga tidak menghargai sepenuhnya pandangan veteran-veteran UMNO yang dianggap sudah “pencen” sedangkan mereka orang yang lama makan garam dan gula.


Rakyat Sudah Penat

Rakyat sudah bersuara secara aman tetapi suara mereka dianggap sebagai pencemaran bunyi. Apabila merasakan pemimpin bukan lagi menjadi wakil bagi rakyat maka rakyat menafikan BN melalui pilihanraya. Bagi mereka itu adalah cara terbaik untuk mengajar BN.

Layanan Tidak Memuaskan Semua Kaum

Kekurangcerdikan pemimpin utama BN dalam menyelesaikan isu-isu sensitif seperti Shi Ciu (Betulkan jika namanya silap) dan juga Hindraf menjadikan isu itu dilihat menggambarkan kelemahan layanan kerajaan terhadap golongan-golongan tertentu.

Media yang Meloyakan

Tiada ruang yang selayaknya untuk pembangkang malahan pembangkang dilanyak sebanyak-banyaknya. Iklan untuk memenangkan BN dan memalukan BR dimainkan saban jam. Kepimpinan bersih Kelantan diperburukkan. Tonggak utama PAS cuba diaibkan sebaik mungkin.

Segala “kesilapan” Nik Aziz dan Hadi dicari seterusnya proses cut & paste pun digunakan bersama olahan berita secukup rasa. Keterdesakan untuk mencari bahan untuk mengaibkan terlalu ketara. Gamaknya jika Nik Aziz terkentut satu rancangan khas tentang itu akan disiarkan di RTM selama sejam setiap malam mengantikan slot berita.

SPR yang Celaru

Sekejap mati setem, sekejap tidak. Masa untuk mematikan setem pun amat tidak logik apabila arahan diterima pembangkang pada hari Khamis sedangkan di sesetengah negeri, Jumaat merupakan hari cuti. Sekejap pakai dakwat, sekejap tidak. Setelah kabinet dan majlis fatwa membenarkan isu keselamatan digunakan apabila SPR mendakwa ada pihak yang membeli dakwat tersebut yang hingga ke hari ini tidak diketahui siapakah orangnya.

Satu perkara yang memeranjatkan apabila umur persaraan kakitangan kerajaan dinaikkan dari 55 kepada 56 tahun. Tindakan ini didakwa sebagai penerusan kuasa dengan melanjutkan kuasa kepada pengarah SPR untuk terus mengarah SPR. Kerahsiaan kertas undi yang mempunyai nombor siri dan telus relevannya undi pos terus diperkatakan.

Yakin Melampau dan Cakap Besar

BN dibuai mimpi indah setelah PRU 11 mencatatkan kejayaan yang lebih baik daripada era Mahathir. Mereka menganggap keputusan itu akan kekal selama bertahun-tahun sehingga PRU 12 dan ada di kalangan pemimpin mereka bercakap besar dengan kekuatan mereka.

Pemimpin Korup

Ini sebenarnya yang menjadi duri dalam daging dalam BN. Semangat Pak Lah menghapuskan rasuah selepas baru mendapat mandat hanya hanya tinggal kenangan. Najis rasuah atau bahasa lembutnya politik wang masih memainkan peranan dalam perebutan dan pengekalan kuasa pemimpin-pemimpin BN. Mungkinkah benar kata-kata “Kalau si ayah kencing berdiri, sudah tentu si anak kencing berlari”.

Manakala para MB, YB dan seterusnya JKKK dilihat seperti tidak memainkan peranan yang sejujurnya kepada masyarakat. Seringkali kepentingan politik diutamakan dari kepentingan rakyat keseluruhan tanpa mengira parti. Sikap ini terus menjengkelkan golongan pembangkang dan menyebabkan mereka geli untuk mendekati pemimpin kawasan mereka.


Rakyat Sudah Matang dan Berani Berubah

Apabila tiada ruang untuk pembangkang di media massa, rakyat mencari-cari maklumat pembangkang dari sumber lain seperti internet. Mencari maklumat berbeza dengan diberi maklumat kerana maklumat yang diberi kerana apabila sesuatu itu dicari, maklumat itu akan menjadi beharga bila dijumpai.

Boleh dikatakan majoriti kaum Cina dan India sanggup berubah dan menghadapi risiko dengan memberikan undian kepada pembangkang namun kaum Melayu masih lagi menganggap UMNO adalah warisan yang harus dipertahankan.


Protes Dalaman

Sudah menjadi budaya dalam UMNO apabila pangkat dicari maka tidak menjadi kehairanan apabila “musuh dalam selimut” sentiasa ada di mana-mana peringkat. Dendam berdendam demi politik survival adalah lumrah.

Politik Perkauman Tidak Relevan Lagi

Setelah 50 tahun merdeka, politik assabiyyah tidak lagi diterima kerana bila hipokrit di hadapan bangsa lain, bangsa sendiri mengata, bila jujur, bangsa lain akan boikot.Fahaman assabiyah telah ditolak oleh Islam. Contoh terdekat dan nyata ialah bangsa Yahudi yang tidak dapat menerima nabi daripada bangsa lain. Secara realitinya, seseorang tidak boleh mengubah status bangsanya tapi boleh mengubah status agamanya sesuka hati.

Bloggers

Jika anda membaca dari mula hingga ke bahagian ini bermakna peranan penulis blog tidak harus dipandang ringan. Mungkin ungkapan “Mata pena lebih tajam daripada mata pedang” bila diterjemahkan didalam versi siber menjadi “Ketukan papan kekunci lebih kuat dari letupan gunung berapi”.


KONKLUSI

Jika hendak dicari dan dihurai punca kekalahan BN, 7 hari 7 malam tidak mencukupi. Apa yang dinyatakan di atas hanyalah sebahagian daripada sebabnya. Bagi saya tidaklah perlu menampal bocor di kapal yang lama sedangkan kapal yang baru yang lebih laju dan cantik dapat menerima penumpang kapal yang lama dengan syarat dicuci lumpur di kakinya. Ingat, MCA dan MIC sudah tidak relevan untuk kaum Cina dan India cuma UMNO sahaja yang masih mendapat sebahagian sokongan kaum Melayu.

Sekali lagi diingatkan untuk orang Melayu, kalau tidak mahu “mabuk laut” sila naik kapal baru ! Jom sama-sama bercuti di tengah laut menyaksikan biru langit dan indahnya wulan !

Kita jangan buang masa,
bertindak masuk BA segera,
bukannya sengketa sesamalah kita,
langit dijunjung milik semua !

Ketukan Papan Kekunci
Mohd Fairuz Mat Zin
http://fairuzhafeez.com

P.L.K.N. - Pak Lah, Ku Li dan Najib : Siapa yang bertuah ? (Kemaskini 2.0)

Monday, April 28th, 2008

Tiada lagi berkalih tapi akan beralih

Pak Lah telah memberitahu secara tersurat bahawa beliau akan mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri tetapi bukan sekarang (atau mungkin dalam masa setahun ini). Beliau juga secara terbuka memberitahu Najib akan menjadi pilihannya untuk mengantikan beliau. Pada mesyuarat tertutup Badan Perhubungan Umno Johor beliau menyatakan akan berbincang secara terperinci mengenai pelan peralihan kuasa dengan Najib.

Saya kira tindakan Pak Lah amat tepat pada masa sekarang lebih-lebih lagi ada suara-suara yang menginginkan Pak Lah berundur. Tukar ganti nampak mudah tetapi sebenarnya banyak aspek-aspek yang perlu diambil kira. Jika pengantian secara mendadak tanpa ada sessi praktikal dan “pemanas badan” mungkin akan mewujudkan “kejutan budaya” pada pengantinya. Cuma saya musyikl kerana Pak Lah bersara dalam suasana yang damai, yang selesa. Saya bimbang keadaan lebih buruk dan memalukan baginya jika Pak Lah lama sangat bertangguh untuk meletakkan jawatan.

Dr. Mahathir pernah memberikan peluang kepada Anwar menjadi Pemangku Perdana Menteri satu masa dulu. Dari situ dapat dikaji dan diteliti seterusnya penilaian dapat dibuat samada penganti itu sudah bersedia sepenuhnya. Seingat saya, Dr. Mahathir tidak pernah pula memberikan peluang seperti itu kepada Pak Lah (betulkan aklau saya silap). Namun Pak Lah bernasib baik kerana pengalaman berpuluh tahun dalam politik menjadi panduan kepada Pak Lah dalam menjalankan tugas sebagai orang nombor satu negara.


Najib “on the right track”, Ku Li ?

Kita lihat pula tindakan Najib selama ini apabila Pak Lah disuruh turun takhta. Najib hanya tenang sahaja dan tidak gopoh turut terbabit dengan golongan yang mempertikaikan kredibiliti Pak Lah. Najib sememangnya tahu bahawa dia tidak perlu menunggu sebegitu lama sebelum jawatan PM diserahkan kepadanya. Adalah lebih baik baginya play safe dan apabila sampai masanya dia akan menjadi PM.

Namun perlu diingat andainya Ku Li mampu mendapatkan sokongan yang padu dari semua pihak sudah pasti ranaplah peluang Najib. Saya juga tertanya-tanya apakah maksud jelingan Najib di muka depan akhbar ketika Pak Lah berucap dalam seminggu dua ini.

Apa yang menjadi perbualan, apakah Ku Li bisa mendapatkan kembali sokongan dari ahli Umno sekurangnya-kurangnya seperti semasa dia melawan Dr. Mahathir dahulu yang menyaksikan dia hanya kalau tipis ?

Tindakan tidak memberikan jawatan menteri kepada Ku Li telah menyebabkan ada pendapat merasakan pengaruh Ku Li dalam politik sedang menurun dan hampir ke penghujung. Mungkin kerana inilah Ku Li terpaksa memberitahu kesediaannya untuk bertanding jawatan tertinggi parti. Ku Li ingin membuka mata semua pihak bahawa dia masih belum bersara dalam arena politik.

Pak Lah pernah smash Ku Li balik baru-baru ini dengan menyatakan sepatutnya Ku Li sepatutnya cuba mendapatkan kembali Kelantan. Saya hanya tersenyum dalam hati kerana ramai yang tahu iklim politik di Kelantan tidak sama dengan lain-lain tempat. Walaupun dihamburkan dengan pelbagai projek, rakyat Kelantan tidak boleh dijual beli. Rakyat Kelantan memerlukan juga projek-projek mega dari Pusat tetapi tidaklah sampai tahap terdesak.

Bagaimana pula dengan karier politik  KJ selepas ini ? Adakah pengaruh KJ turut berkubur apabila Pak Lah telah turun takhta ? Adakah Ku Li akan menjadi Perdana Menteri dengan dibantu oleh Muhyiddin ? Susah bagi Ku Li untuk meraih sokongan daripada perwakilan UMNO yang masih tidak faham atau sengaja tidak faham dengan senario politik hari ini.

Adakah Pak Lah sengaja memperlewatkan penyerahan jawatannya kerana ingin membuka fikiran ahli-ahli UMNO untuk memikirkan semasak-masaknya siapakah yang sepatutnya menjadi pengganti beliau ? Benarkah Pak Lah ingin tempatnya digantikan Najib (orang Mahathir ?) atau memberi peluang kepada Muhyiddin (orang Pak Lah ?) untuk muncul sebagai pilihan ramai ?

Adakah kerana sibukkan dengan siapa yang patut menggantikan Pak Lah, parti semakin nazak dan PR pula sudah lama rancak bekerja, UMNO telah merugikan parti sendiri hingga nanti menyebabkan tiada langsung pemimpin UMNO yang layak menjadi PM selepas Pak Lah ? ? (Faham-fahamlah maksudnya). Kita tunggu dan lihat !

Mohd Fairuz Mat Zin
USJ, Selangor Darul Ehsan

Siri Motivasi : M1 Mengapa Manusia Kecewa ?

Friday, April 25th, 2008

Mulai hari ini, Fair akan membuat satu siri motivasi. Insya-Allah motivasi ini akan dibukukan jika diizinkan. Sila tinggalkan komen dan pendapat anda. Jika ada cadangan untuk motivasi mengenai kes-kes tertentu sila nyatakan.

Siri Motivasi : M1 Mengapa Manusia Kecewa dan Bagaimana Mengatasinya ?

Perisai Kecewa

Manusia selalu sahaja kecewa. Bila kecewa kita akan tertekan, marah, celaru dan pelbagai lagi nilai-nilai yang buruk. Hari ini ramai yang menderita an merasakan hidup tidak bahagia kerana banyak kekecewaan yang wujud di dalam hidup kita.

Kenapa kita kecewa ? Kita kecewa kerana kita hanya meletakkan harapan. Apabila harapan tidak dapat direalitikan maka kita akan kecewa. Mungkin anda kan menyoal, jika tidak diletakkan harapan, bagaimana mahu memotivasikan diri dan memajukan hidup ? Baik, meletakkan harapan tidak salah, malahan dialu-alukan. Cuma, satu aspek yang amat penting, kita sering terlupa untuk meletakkan perisai. Perisai ? Apabila kita meletakkan harapan, kita mesti memikirkan keberkecaian harapan itu dalam tahap yang paling teruk dan bersedia menerimanya. Selepas itu berusaha semampu mungkin, berdoa dan berserah pada Tuhan agar harapan itu mampu dicapai.

Kejayaan sebagai galakan, kegagalan sebagai cermin

Jika harapan menjadi kenyataan, bersyukurlah kepada Tuhan dan jadikan harapan yang menjadi kenyataan itu sebagai perangsang untuk harapan-harapan lain yang lebih besar di masa akan datang. Jadikan ia sebagai seolah-olah profil untuk sesuatu syarikat. Katakan pada diri, “Aku telah berjaya melepasi tahap ini dan aku akan cuba pergi kepada tahap yang seterusnya”.

Bersabarlah dan renung kembali apa yang silap jika harapan berkecai atau tidak sempurna kejayaannya. Dapatkan sokongan dari manusia sekeliling : keluarga, kawan dan sebagainya. Ingat, manusia sentiasa melakukan kesilapan dan harus meletakkan sebagai rujukan untuk hari-hari seterusnya.Jangan sesekali berputus asa kerana itu menunjukkan bahawa ada tidak mencerminkan ciri-ciri manusia berakal yang baik. Ingat ! Berputus Asa itu adalah punca kenapa Iblis (Ketua Syaitan) menjadi musuh kita manusia.

Kekecewaan dalam filem P. Ramlee

Pernah melihat filem “Nujum Pak Belalang” lakunan P. Ramlee ? Watak Pak Belalang itu adalah watak manusia yang meletakkan harapan pada mulanya, tetapi apabila harapan itu menjadi besar, dia tidak mampu menjayakan harapan tersebut (Harapan yang dibuat secara penipuan). Mujurlah ada anaknya Belalang yang tidak panik dan mampu mencari jalan untuk melepaskan diri mereka dari kesusahan.

Bagaimana pula dengan aksi Kasim Selamat mencucuk matanya dengan garfu ? Adakah itu contoh manusia yang tidak mampu berfikiran waras apabila kecewa ? Anda boleh jawab sendiri.

Bertindak bodoh kerana Semakin Membenarkan Kekecewaan 

Ada juga manusia yang sanggup menjerumuskan hidupnya dalam keadaan yang lebih hina semata-mata kerana kecewa yang masih boleh diubat. Ada yang tidak mahu berkahwin semata-mata kerana kecewa dengan cinta, ada yang tidak mempercayai mana-mana wanita / lelaki kerana diperdayakan seorang wanita / lelaki. Ada yang menggadaikan maruah kerana marahkan pasangannya yang meninggalkannya. Ada yang membunuh diri kerana tidak mampu lagi menanggung beban hidup.

Janganlah kita menjahanamkan hidup kita semata-mata kerana pernah kecewa. Bangkit semula itu adalah kemenangan yang sebenar. Yang penting kejayaan pada akhirnya, bukan permasalahan pada permulaanya atau pertengahannya.

Sentiasa buat post mortem dan cari apa yang silap dan boleh diperbaiki. Oh ya ! Jangan lupa untuk membuat kajian atau persediaan sebelum melakukan sesuatu yang rumit. Sentiasa bertanya pada yang tahu dan boleh dipercayai.

Masih Ada yang Sayang

Ingatlah, tidak semua harapan akan kesampaian. Jika anda pernah kecewa, renung kembali dan bandingkan nikmat yang anda kecapi sekarang. Masih banyak yang anda boleh nikmati, masih ramai yang menyayangi anda. Yang penting, anda masih bernafas bukan ?

Ingat, sebelum ianya berakhir, ingat di mana kita bermula dan harapan bukannya untuk memusnahkan diri kita tetapi membuktikan kita adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling sempurna !

Fairuz Hafeez
USJ 14, Selangor Darul Ehsan

Hak Cipta Terpelihara.

Idris Jusoh masih lagi MB Terengganu ?

Tuesday, April 22nd, 2008

Saya ni memang suka buka dan baca mana-mana laman web / blog politik tak kira la BN ke PR. Baca semua. Kita ada akal. Kita seharusnya bijak menilai mana yang fakta, mana yang auta. Dalam sibuk mencari terjumpalah sesuatu yang amat pelik.

Hari ini, saya telah melawat laman web UMNO Terengganu yang dilancarkan oleh Idris Jusoh pada 19 September 2005. Apabila saya klik kat Menteri Besar masih terpampang wajah Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Macammana ni ? Lagi kelakar dalam laman web ni juga ada artikel “Laman Web Setiap DUN Dipantau”. Kalaulah laman web UMNO Terengganu pun tak kemaskini dan terpantau apa cerita pula laman web DUN ?

(Gambar tidak memuaskan - Maaf - Masalah teknikal-Akan diperbaiki)

Itu cerita UMNO Terengganu. Ini cerita Puteri UMNO pula. Sebelum ini saya suka melayari laman web Puteri UMNO lebih-lebih lagi apabila Ketua Puteri UMNO mengatakan Puteri UMNO akan memantau blog (Bagaimana cara pantau tu saya pun tak faham). Sedihnya, apabila saya buka laman web mereka, isi kandungannya tidak mampu mengujakan saya.

Tiada isu-isu besar dikupas. Berita seperti “Puteri UMNO Johor sumbang RM5,350″ dan “Program Konvoi Kebajikan Puteri Menyusur Akar Puteri Sungai Siput” banyaklah. Bahagian surat pembaca pula masih terpampang artikel mengenai pemilihan tarikh 8 Mac 2008 sebagai tarikh pilihanraya (Sila lihat snapshoot di bawah). Aduiii … Kemasikini la.. Tak lah susah saya nak cari berita yang terkini.

(Gambar tidak memuaskan - Maaf - Masalah teknikal-Akan diperbaiki)

Kasilah power lebih sikit. Baru la seronok nak berentap !

Wang Ehsan @ Dana Ehsan duit UMNO atau duit rakyat ?

Monday, April 21st, 2008

Anda orang Ganu ? Pernah dapat wang ehsan ? Sebelum ini ramai yang beranggapan hanya orang-orang yang menyokong sahaja yang dapat tetapi hakikatnya semua dapat lebih-lebih lagi sebelum pilihanraya yang lepas. Cuma, kena bersedia la mendengar “iklan” supaya menyokong UMNO atau ungkapan berbunyi lebih kurang seperti “Saya tidak redha tuan-tuan yang mendapat dana ini mengundi selain UMNO !”. Saya dengar sendiri dengan telinga saya !

Bersambung, insya-Allah

(maaf kebizian telah melanda)

I Lap U Bro Ahmad Said !

Monday, April 21st, 2008

Terkejut dan gembira ! Itulah yang saya rasakan apabila menatap muka depan Utusan Malaysia hari ini, Isnin, 21hb. April 2008 (Terus saya beli suratkhabar dan rasanya ini kali kedua membeli suratkhabar semenjak berada di Selangor bermula 31 Mac 2008). Bro. Ahmad Said yang saya kenal sebagai garang dan yakin dirinya benar telah secara berterus-terang meminta (bukannya berharap) Kerajaan Pusat untuk mengembalikan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Nilai anggaran wang royalti tersebut adalah RM 1,000,000,000.00 setahun.

Tidak sia-sia juga “rocker suci” Bro Akhil Hayy menyanyikan dengan cara tersendiri lagu “Sejati” dengan diberi nafas baru (ala-ala Akademi Fantasia) dan tajuk baru “Royalti“. (Errr.. semasa saya terdengar rakan sekerja saya memainkan lagu ini saya ingatkan ada muzik rupanya secara acapella.) Maaf, saya bercakap pasal lagu pulak. Maklumlah dah kegemaran saya.

Okey, so… apa yang berlaku ? Kenapa Ahmad Said tunjuk “garang” sekarang ? Besar sangat ke kuasa dia ? Tak besar apa, dah sah dia tu Menteri Besar. Kenapa dia tak cakap hal begini sebelum ni ? Alaa … Dulu Bro Ahmad Said sebagai orang bawah, tak bagus la bertindak melebihi orang atas. Sekarang dia yang duduk di atas dan rakyat nakkan perubahan. Maka, inilah perubahan yang dilakukan Bro A. Said demi untuk meneruskan perjuangan UMNO Terengganu.

Royalti ni selepas sahaja PAS ambil alih telah bertukar nama menjadi Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP). Mengikut persepsi sesetengah pihak, ada yang menganggap DKKP sebagai “Dari Kami Kepada Penyokong” walaupun tak dapat dinafikan boleh menjadi “Dari Kami Kepada Penyokong @ Pembangkang”. (Cerita tentang ni panjang, asalnya saya tambah kat sini, tapi akhirnya saya dah buang… mungkin ada kat post seterusnya kat blog).

Ada yang mengatakan royalti itu bertukar menjadi dana dan dana itu sebahagiannya telah diagih-agihkan menerusi Dana Bakti Remaja, Dana Warga Emas dan Dana Ibu Tunggal. Ada yang merasakan sebahagian dana itu telah bertukar menjadi “Kristal” dan “Piala” : yang ini saya tak pasti, kang jadi fitnah pulak. Mungkin ini yang Bro A. Said kata “projek yang kita tidak rancang” dan “tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat seperti buat jalan dalam hutan RM 50 juta hingga RM 60 juta.” Bro kita juga cakap wang royalti ini diuruskan oleh banyak pihak kerana telah bertukar status menjadi wang ehsan. Bro A. Said cakap lagi bahawa kementerian yang memilih projek telah melaksanakanya berasakan kepentingan kementerian terbabit tanpa ambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.

Apa yang Bro kita ni nak sampaikan ? Persepsi saya ialah kerajaan pusat telah melakukan kekhilafan (istilah lembut sikit.. he he) dan perlu mengembalikan hak rakyat negeri Terengganu jika tidak Duit Ehsan itu akan sentiasa dikhilafguna (baca : tersilap buat keputusan) oleh kementerian yang menguruskannya. Kalau bercerita tentang duit dana ehsan memang banyak ketidakpuasan dari segi pembahagian dana ehsan tersebut. Datanglah ke Terengganu dan tanya orang Terengganu tak kira UMNO atau PAS. Nak dapat wang ehsan mesti kena ambil borang dan nak dapat borang mesti dari JKKK. Mungkin ada orang yang berhak dapat tapi tak mboh (tak nak) meminta “sedekah” atau ehsan daripada JKKK. Tak apalah, anggapkan saja orang yang tak dapat ni malu sangat nak ambil borang, siapa suruh ? Tak isi borang camana nak dapat ? Kena tebalkan muka, duit tu…. !

Permintaan Istimewa (harap-harap bukan “Permintaan Terakhir” - macam tajuk lagu la pulak) dari Bro A. Said ini adalah harapan pemerintahan PAS dulu. Mereka tahu betapa sakitnya menguruskan “anak-anak” apabila sebahagian sumber rezeki dinafikan. Bro A. Said bagi saya lebih ke depan dan tahu kalau dia tak meminta sebegini, dia juga akan mengalami kesukaran dalam memberi makan “anak-anak Ganu”.

Cuma saya tertanya-tanya, jika dikembalikan hak royalti dan kemudian PAS memerintah kembali, apa cerita ? Camana tu ? Sedangkan dalam tak berduit pun PAS mampu melangsaikan sebahagian hutang-hutang dan menguruskan kerajaan negeri dengan berjimat, fikirkan keadaannya jika PAS memerintah dengan duit royalti 100% diuruskan oleh kerajaan negeri. Silap-silap jadi macam rakyat Kelantan, tak boleh dipujuk sampai ke sudah.

Apapun, saya fikir Bro A. Said dah nampak beberapa langkah ke depan dan matang berfikir. Dia lebih nampak kepentingan rakyat daripada kepentingan parti. Orang macam ini yang kita cari. Orang yang macam ni yang kita tunggu. Bro. A. Said, teruskan perjuanganmu yang belum selesai ! Teruskan melakukan perubahan dengan betul-betul tau ubah. Jangan takut ! Kalau banyak tindakan-tindakan berani mati sebegini dilakukan, saya rela Tengku Putera (orang Ulu dan saya pun orang Ulu) memberikan laluan kepada Bro (sehingga Bro puas) untuk merawat Terengganu. So, yang tak pernah datang ke Terengganu, jom melawat Terengganu sempena “Tahun Merawat Terengganu 2008″ dan “Suka Maa 2008″. Opsss…. “Tahun Melawat Terengganu 2008″ dan “Sukma 12 Terengganu 2008″.

Kepada Najib atau Muhyidin, tolong ya bagi surat sokongan kepada pendekar baru kita ini. Akhir kata, “I Lap U Bebeh !” (baca : Saya sayangkan kepimpinan tuan dan saya sudi melapkan airmata tuan jika tuan menangis kerana rakyat).

Permisi !

http://www.fairuzhafeez.com

Baiki Roket Nak Naik ke Bulan

Wednesday, April 16th, 2008

C E R P E N A L T E R N A T I F :(i)

Pulau Malar Hijau didiami oleh enam buah keluarga jurutera yang terselamat selepas kapal besar mereka musnah akibat tsunami melanda semasa family day. Sesampainya di pulau itu, tercengang-cengang mereka melihat telah tersedia sebuah pangsapuri sebelahnya air berani terjun. Dan takjub pula mereka mengenyeh mata memandang sebuah kondo, tengahnya kolam renang ala taman tema. Sudah tentu macam-macam tersedia. Ada yang terus jatuh cinta dengan kondo terus terjun main air kolam. Yang lain lebih kagumi air berani terjun sebelahnya pangsapuri.

Aman dan damailah mereka bertahun-tahun lamanya. Satu hari, dusun buah-buahan mereka dirompak tupai liar yang entah mana datangnya. Binatang ternak pula kerap menjadi habuan makhluk misteri bergigi buaya berbulu musang. Dulu mereka mewah, makan apa sahaja ikut suka, kini catu makanan dimakan semeja. Fikir punya fikir, diambil keputusan untuk ucapkan selamat tinggal pulau penderitaan.

Kedua belah pihak cuba mencari pokok besar yang bagus untuk dibuat kapal layar. Nak dijadikan cerita bak filem hindustan, kebetulan, warga kondo a.k.a Rich Bar (RB) bukan menjumpai pokok besar malahan mereka terkejut besar kerana terjumpa sebuah roket terpakai. Kelebek punya kelebek, nasib baik enjinnya baik dan cukai jalan serta insuran boleh pakai 4, 5 tahun lagi. Bolehlah terbang ke mana benua. Tak mahu dicop tamak dijemput warga pangsapuri a.k.a. Citizen Bar (CB). Pelancaran pertama berjalan lancar, bila dah terbang terasa gayat, lama-lama terasa loya, tak pasti pula ada yang muntah. Bila time landing tak konfiden, salahkan lapangan yang mana ada, tadipun asyik tersasar sahaja. Nak buat camana pilotnya mengantuk saja. Nak tak nak, berpatah balik, berkerat rotan, berpatah arang, minyak ditangki sudah kebocoran !

Pendek cerita (yang masih panjang), tidak lama kemudian, CB pula terjumpa roket yang bukan lama. Dalamannya bersih, cuma pintunya masih terselak bahagian dalam. Puas mereka mengajak, memanggil RB gabung tenaga untuk membuka pintunya namun manakan mungkin RB melayan. Buang masa saja, pakai saja roket yang lama, bantah mereka, terjegil matanya.

Akhirnya setelah Pak Baiki berjaya membuka pintunya begitu pantas CB mengajak RB join agar serasi bersama. Pujuk punya pujuk, cerita punya cerita, suara dah serak barulah hampir semua kerabat Shahrani si anak Uncle Boo Coo dan Change anaknya Uncle Mc Great join sekali. Ayah mereka Uncle Boo Coo dan Uncle Mc Great yang sudah uzur saja masih berdegil, masih “istiqamah” dengan roket yang lama. Anak beranak Pak Tau Ubah pula terbagi dua, separuh di roket baru dan separuh pula masih setia terpaku janji dengan Pak Tau Ubah. Yang banyak ke roket baru sebenarnya anak susuan yang mana dulunya ditatang oleh Dr. Tau Ubat, saudara sepupu Pak Tau Ubah. Kekadang berkunjung juga minum air yougurt. Sempat juga Dr. Tau Ubat menasihati Pak Tau Bah jangan memanjakan sangat anak-anak. Anak-anak adalah amanah, anak jahat orang kata kita juga, kita pemimpin mereka, kita yang dipertanggungjawabkan ! Khutbah Dr. Tau Ubat lai ini seperti dia telah menukar nama menjadi Dr. Taubat. Pak Tau Ubah denga, dengar juga, tapi bagi Pak Tau Ubah, Dr. Tau Ubat hanya kacau daun, dah bagi anak-anaknya kat aku tapi belum percaya. Dah bagi tu, bagilah ! Jangan ajar aku !

Di pihak CB, setelah dikaji dan berdoa kepada Tuhan yang Maha Kuasa, pemberi rezeki, Tok Naiki telah berjaya menghack password control panel roketnya ini. Yang setia pada roket lama hanya tinggal Uncle Boo Coo, Uncle Mc Great dan Pak Tau Ubah bersama 4 orang anak-anaknya. Yang lain seramai 15 orang percaya roket baru lebih mampan membawa harapan berzaman tersimpan. Pejuang roket lama tetap petah berhujah sedaya upaya pengaruhi ahli keluarga yang berpaling tadah (baca : berpaling padah). Mereka sedar 7 orang yang masih berbaki sukar yang amat untuk memungkinkan roket lama dilujurkan sejujurnya. Masih membutuhkan 4 orang lagi anak kapal yang pintar dan kuat.

Berjayakah pejuang roket lama mengugut (baca : menghasut) atau mereka akan malu sendiri untuk mengakui kesilapan dan kealpaan ? Mungkinkah yang masih di sisi Pak Taubah iaitu S.A.M Doll, S.A.M Pah, S.A.MRah dan anak yang sulung OS.A.MAR mengikuti tindakan bijak 3 kekanda mereka bersama adik yang bongsu, Mamat ? (Nota : S.A.MRah anak yang tengah yang taat dan amat pintar manakala adiknya bergelar OS.A.MAR memang gagah perkasa tapi masih dilemma kerana dialah yang menyara keluarga.)

Mampukah mereka berpinda-minda laksana keluarga Tok Naiki, keluarga Abang Baiki (termasuk isterinya Kak One serta anaknya Nofear dan Cahaya) dan seterusnya Uncle Dapi dengan anaknya Tam Bah dengan roket baru yang lebih canggih dan bersih untuk naik ke bulan ?

Atau lebih rela dibujuk mengikut Pak Tau Ubah dan terus kecewa berpandu angan-angan Mat Jenin atau senasib dengan Lebai Malang ? Atau mereka rela dianggap Pak Pandir Klasik walaupun hakikatnya semasa remaja mereka tak ubah seperti datuk saudara, Pak Pandir Moden yang usai merekod berbuah-buah gurindam di piring hitam ? Lupakah mereka gurindam yang sering dinyanyi oleh datuk saudara mereka : “Minta Angguk.. Angguk.. Minta Geleng.. Geleng.. Yang leleh dan yang toleh berlegar di sekelilingmu …” ?

Lupakah mereka pada jiran mereka Asma (kini berada dipuncak) dan sering melaungkan “Aduh .. Soleh dan Solehah… kau tinggalkan kami” ? Gurindam itu juga yang Tok Naiki dengar dengan anak cucunya di atas pentas bangsal buluh. Semua penduduk kampung tahu mereka sembahyang Isyak berjemaah dulu sebelum dengar Asma menyanyi. Cuma yang mereka sedih, kampung-kampung lain seolah tidak berminat untuk mengikut format konsert suci kelolaan mereka.

Akhir soal, benarkah Tok Naiki dan Pak Baiki hanya seumpama “Saudagar Mim Pipi” yang pernah dipotretkan oleh ayah saudara mereka yang lahirnya di Inderapura ?

(ii)

Telah seratus hari berlalu, kedua-dua pihak cuba dan mencuba untuk merealisasikan tujuan mereka menuju ke bulan. Di sebelah sana, formasi pengendali roket Pak Tau Ubah telah berubah-ubah. Ada yang merajuk, ada yang terkejut, ada juga diam ikut sahaja. Semasa ekspedisi mencari damai sehari, program bercuti setelah penat membaiki roket, pernah juga mereka berkontra sesama sendiri setelah terjumpa ganu yang terang (terang ganu). Ada yang mahu pergi ke pangkal sebelah kanan separa bulatan ganu dan ada juga yang memilih pangkal sebelah kiri. Kurang pasti pula samaada mereka juga percaya dengar cerita penglipurlara yang mengatakan dipangkal ganu atau pelangi tertanam harta qarun yang telah dimakan bumi. Rasanya mereka bukan mencari harta setambun kerana mereka tahu, membawa emas perak itu bersama ke bulan akan menambahkan lagi peratus penggunaan bahan bakar roket mereka. Yang penting sekarang nyawa bukan harta.

Golongan CB pula sentiasa berusaha untuk menaik taraf roket baru mereka dan hasilnya terbukti apabila mereka berjaya menambahkan sistem pangkalan data dan menyediakan ruang yang selesa dan saksama kepada semua anak kapal. Tok Naiki sendiri menolak bilik perdana yang dihadiahkan sempena jasanya dulu. Baginya biarlah bilik Perdana itu menjadi Bilik Nursery yang pastinya berseri.

Semua tengah menunggu-nunggu dan tertanya-tanya roket mana yang akan naik ke bulan. Bagi Tok Naiki, dia lebih suka kalau semua naik roket baru CB. Dia lebih puas, baginya bukan nak berlawan siapa pandai dan siapa sampai dulu, yang penting sama-sama sampai. Bagi dia kalau masih ada seorang yang tak nak pergi ke bulan, itu bukan kemenangan yang sebenar dan menyeluruh bagi dia.

Satu pagi yang hening, semua terkejut apabila Tok Naiki tidak muncul-muncul dalam Majlis Santapan Mulia yang diadakan sebulan sekali. Majlis Santapan Mulia bukan seladar majlis suap-siapan tetapi juga majlis garap harapan semua warga pulau. Bila ditanya pada keluarga Tok Naiki barulah seluruh warga Pulau Malar Hijau tau bahawa Tok Naiki sekarang sudah tidak berapa sihat dan terpaksa berehat di rumah.

Berbondong-bondonglah mereka melawati Tok Naiki dan bertanya khabar, baik warga CB dan RB, semua ziarah tiada yang terkecuali. Saat semuanya mampir di katil Tok Naiki, perlahan-lahan Tok Naiki membuka bicara.

“Masaku hampir tiba dan aku tak mampu untuk bersama kalian untuk sama-sama naik ke bulan. Doa dan restu aku tetap bersama kalian. Bersatulah demi kemenangan semua. Fikirkanlah demi keterusan anak cucu kita. Aku lebih suka kamu menaiki roket yang satu itu. Walaupun aku tidak naik ke bulan bersama kalian tapi aku tetap akan ke satu destinasi yang abadi, lebih jauh dari ke bulan. Masanya hampir sampai … masanya hampir…”.

Tok Naiki tak mampu menyudahkan ayatnya. Airmatanya bercucuran. Bukan sekali dua airmatanya jatuh mengenangkan nasib anak cucunya dan agamanya. Semua dengar dan merasai kehibaan yang dirasai Tok Naiki. Semua pandang memandang antara satu sama lain seolah berbicara tanpa suara.

Dari jauh azan Isyak kedengaran, terus sahaja Tok Naiki bangun dikuti satu persatu yang lain dengan pipi yang basah.

“Marilah menuju kejayaan!”
“Marilah menuju kejayaan!”

TAMAT

Satu Kelainan Pemikiran - Fair
h t t p : / / f a i r u z h a f e e z . c o m

Hak Cipta Terpelihara.

Ahli Umno bebas bersuara ? Betul ke ?

Monday, April 14th, 2008

Najib telah dilaporkan Berita Harian semalam bahawa Umno tidak menghalang ahli Umno untuk mengutarakan perasaan tidak puas hati kepada parti itu selepas kehilangan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

TPM berkata bahawa larangan untuk ahli bawahan bersuara akan menyebabkan orang menganggap Umno tidak demokratik.

Hmmm … ahli bawahan atau akar umbi pun boleh bersuara. Maknanya Ketua Cawangan lebih lagi la kan ? Apakata kita lihat video youtube ini yang menyaksikan Sasnizam Adham, Ketua Pemuda di halau keluar setelah menyatakan ketidakpuasan dan pandangan di dalam satu majlis (maaf tak pasti pula majlis apa).

Ahli Umno bebas bersuara ? Mungkin tidak …Sila rujuk : Artikel Berita Harian

Rahsia Sebalik “Selamat Aman Makmur”

Monday, April 14th, 2008

Nota : Artikel ini tidak mempunyai sokongan fakta saintifik. Hanya berfikir secara abstrak. Kita tidak boleh menjangkakan perkara akan datang dengan kod-kod tertentu tetapi artikel ini saya isikan sekali dengan membawa anda berfikir tentang fakta yang telah ada. Hanya untuk kelainan.

Saya cuba kupaskan rahsia di sebalik “Selamat Aman Makmur” yang digunakan oleh BN dalam kempen pilihanraya baru-baru ini. Adakah rahsia yang ingin dikongsi di sini suratan atau kebetulan ? “Selamat Aman Makmur” jika dibentuk kembali boleh membentuk perkataan “Same la mak, Dr. M, AA, N U TR” seperti rajah di bawah. Apakah maksudnya ? Baik, untuk jawapannya, teruskan membaca.

 

Apakah ini bermaksud sama ada Dr. Mahathir, Pak Lah, Najib atau Ku Li kesannya sama sahaja. Pemerintahan yang tidak dapat menolong rakyat marhein ? Pemerintahan yang tidak dapat mengekang budaya politik wang atau nama tak manjanya - rasuah. Sudah sampai masanya rakyat menukar kepada yang baru. Sekejap sahaja, tak lama, 4 tahun sahaja. Kalau fikir-fikir tak bagus boleh tukar balik 4 tahun kemudian.

Ada juga pemimpin UMNO yang seolah-olah menakut-nakutkan pengundi supaya jangan mencuba untuk memberi kuasa kepada Pakatan Rakyat. Mereka mempertikaikan keupayaan PR untuk saling memahami antara satu sama lain. Jika mereka tidak boleh berada di dalam satu kapal masakan pemerintahan di Perak, Kedah dan Selangor sekarang ini berjalan seperti biasa ? Rakyat sudah matang benar. Semua telah membuka mata dan minda. Jika anda masih ragu-ragu, silalah datang ke Kelantan, Kedah, Perak, Selangor atau Pulau Pinang. Perhatikanlah cara bekerja dan cara hidup Nik Aziz dan Nizar. Saya pasti anda akan memahami sesuatu. Kalau susah nak dapatkan cuti tak apa, masih ada 4 tahun lagi menjelang PRU 13.

Sebenarnya hendak saja saya meletakkan nama insan yang bermula dengan “K” ke dalam senarai, tetapi rasanya tidak sesuai dibaca seperti berikut “Same la ma, Dr. M, AA, N, TR U K” (”U” bermaksud atau dalam matematik. Nama-nama yang diletakkan di situ adalah nama-nama yang layak untuk mengisi jawatan nombor satu negara dan saya berpendapat secara peribadi, “K” tidak layak di situ.

Saya juga terfikir juga adakah ia perlu dibaca “Sama Lemak, Dr. M, AA, N U TR” ? Atau mungkin juga AA itu boleh dipecahkan kepada Anwar dan Abdullah. “Sama lemak” bermaksud, siapa pun yang memegang teraju negara selagi kapalnya bernama BN tetap sukar untuk membuang lemak-lemak berkolestrol tinggi yang menyebabkan BN dipandang semakin tidak relevan.

Lemak ada yang baik, ada yang tidak baik, ada yang tepu, ada yang tidak tepu. Mungkin juga kerana sudah lama memerintah maka BN sudah “naik lemak” ? Sudah sampai masanya BN bersenam supaya lemak-lemak yang merbahaya itu dapat dikeluarkan setelah itu perlu kerap ke gim untuk membina kembali otot-otot yang dulunya pejal dan kemas. Selagi lemak-lemak tidak dikeluarkan usah bermimpi untuk membina otot-otot yang mantap.

Lemak yang dimaksudkan adalah perkara-perkara negatif yang menjahanamkan perjuangan asal BN khususnya Umno. Salah satu yang paling utama ialah rasuah yang berbudaya di situ dan masih belum dapat dihapuskan. Perlu diingat, saya tidak mengatakan nama-nama yang disebutkan di atas terlibat rasuah tetapi saya menegaskan siapa pun pemimpin BN sukar untuk membanteras habis-habisan rasuah. Kenapa ? Kerana rasuah telah lama dibudayakan dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

Cuma perlu kita fikirkan. Kenapa kita perlu membentuk semula perwira yang telah banyak lemak dan amat lemah staminanya sekarang. Lebih baik kita tumpukan kepada perwira muda yang lebih bersemangat, penuh keazaman dan staminanya amat mengujakan. Kita tunggu dan lihat, apa yang akan terjadi dalam masa 4 tahun ini (atau mungkin dalam tahun ini).

Kami para blogger sedia menyerlahkan kekuatan Pakatan Rakyat ! Kami mengutarakan, anda yang memikirkan dan menimbangkan sama ada ia merepek atau perlu direspek !

http://fairuzhafeez.com

Terangkan Bertandang Setelah Gelita Membuta

Monday, April 14th, 2008

Setelah gelita membuta
tidak kira hujan ribut
tidak kira taufan gila
masih tak terbuka matanya

Resah gelisah membelasah
mengasah makin susah
mengindah kian payah
maka, bicara apa lagi
bisa menghadamkan hitam azam
acara apa lagi
bisa meranumkan mimpi marhein

Separuh abad telah berlalu
tak perlu lagi lidah kelu
tak perlu lagi jiwa lesu

Ayuh semua !
Kita galas cabaran
berdepan tanpa gentar
berkorban dengan sinar
berani kerana benar

Moga benih yang tumbuh
pada musim mendatang
lebih subur berbunga wangi
bukan sepeti musim sudah
penuh padang ilalang

Tuhan,
dibumi bertuah ini
makbulkan doa kami
agar terangkan bertandang
Falah yang berkekalan !

(Sempena Gelita 14)

Mohd Fairuz Mat Zin
14hb. April 2008
USJ, Selangor Darul Ehsan

My New Blog http://fairuzhafeez.com

Monday, April 14th, 2008

Assalamualaikum dan salam siber !

Alhamdulillah, hari ini 14hb. April 2008 saya telah berjaya melahirkan kembali blog saya setelah dipedajal oleh pihak-pihak yang mengsabotaj blog lama di blogspot.

Insya-Allah dengan keredhaan Tuhan, blog ini akan terus aman dan selamat daripada gangguan pihak-pihak yang tidak rasional. Selagi ada sokongan dan harapan, selagi itulah saya akan menulis. Semoga apa yang diusahakan oleh saya selaku penulis kerdil ini mampu menyuntik sedikit sebanyak kebaikan kepada masyarakat.

Anda berhak terus membaca dan bersiar di mana-mana ruang atau meninggalkan blog ini jika tidak dapat memerah apa-apa kebaikan dari blog ini. Jika anda memilih untuk terus anda membaca, anda berhak menerima atau menolak apa-apa yang dipaparkan di sini.

Blog ini merupakan blog peribadi saya tetapi akan diwarnai dengan pelbagai paparan seperti politik, seni, motivasi, artikel-artikel dan juga apa sahaja. Kepada yang ingin mengutarakan pendapat, pandangan, sokongan dan kritikan, dipersilakan dengan hormatnya. Cuma awas, jika anda tidak hormat atau kurang ajar maka sudah semestinya anda perlu diajar. Jika anda berpegang pada apa yang anda tuliskan sila nyatakan siapa anda bukan hanya menggunakan nama “anynomous”.

Baiklah, setakat itu sahaja dulu untuk post pertama kelahiran baru. Sehingga berjumpa lagi jika diizinkan Tuhan. Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang menyokong !

Mohd Fairuz Mat Zin